NAFSU YANG SANGAT DICINTAI

Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sangat kita sukai. Apabila sesuatu itu sangat kita cintai, kita akan menjadi buta lalu kejahatan yang dilakukan dilihat baik. Malah kita akan menjadi hamba kepada apa yang kita cintai. Umat Islam sering member tumpuan kepada musuh zahir tetapi tidak kepada musuh yang lebih hebat angkaranya iaitu NAFSU.
Ulama tasawuf membahagikan nafsu kepada beberapa peringkat. Antara peringkat-peringkat nafsu dan ciri-cirinya ialah:

1. NAFSU AMMARAH

Amarah ertinya sangat mengajak kepada kejahatan. Ini adalah tahap nafsu yang PALING jahat dan hina. Firman ALLAH yang bermaksud : “…sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.”(Surah Yusuf 12 : 53)
Orang yang bernafsu ammarah ialah orang yang berbangga melakukan maksiat dan kemungkaran. Dia berasa seronok dengan maksiat, bahkan mengajak orang lain kea rah kemungkaran. Jika ada program kebaikan, dia akan menentangnya.

2. NAFSU LAWWAMAH

Lawwamah erti nafsu yang mencela. Orang yang mempunyai nafsu lawwamah menyedari dia sering terlibat dengan dosa. Ia akan menyesali dosa-dosa itu dan akan mencela dirinya sendiri. Firman ALLAH yang bermaksud : “Aku bersumpah dengan nafsu yang amat mencela kejahatan.”(Surah al-Qiyamah 75 : 2)
Namun ketika berbuat dosa, ia akan terleka dan terbuai dengan kenikmatan dosa itu tanpa memikirkan akibatnya. Hanya setelah selesai melakukannya barulah timbul penyesalan. Sugguhpun keadaan itu bersifat sementara. Apabila melakukan ketaatan, orang yang mempunyai nafsu lawwamah ini mudah dihinggapi rasa riyak dan ujub. Dirasakan dirinya sudah baik disisi ALLAH.

3. NAFSU MULHAMAH

Orang yang mempunyai nafsu mulhamah sudah mula mendapat ilham kebaikan hatinya. Ada bisikan kebaikan dalam dirinya untuk berusaha lebih gigih kea rah menjadi insan yang lebih baik. Firman ALLAH yang bermaksud : “Diilhamkan kepada diri akan kejahatan dan juga ketaqwaan.”(Surah al-Shams 91 : 5)
Orang yang berada tahap ini sudah mampu meninggalkan tahap nafsu lawwamah. Dia mula menghisap dan menyuluh diri lalu berusaha melakukan kebaikan. Ada masanya dia terlanjur kerana kelalaiannya. Dia tidak sengaja.

4. NAFSU MUTMAINNAH

Inilah nafsu yang diperolehi oleh seseorang hasil mujahadah (melawan nafsu) dan riyadah al-nafs(latihan diri) secara istiqamah. Hatinya sudah tenang kerana nafsunya telah Berjaya dijinakkan. Dia bukan sahaja seronok melakukan ketaatan tetapi indah ketika meninggalkan kejahatan. Dia hadapi semua ujian dengan sabar dan redha.
ALLAH redha terhadap mereka sepertimana mereka redha terhadap ALLAH. Inilah nafsu orang yang bertaqwa. Mereka menikmati al-jannah al-ajilah (syurga dunia yang berupa ketenangan dan kebahagiaan hidup) dan diakhirat mereka diseru untuk kembali kepada ALLAH menjadi penghunu syurga kekal abadi.

Semoga kita semua berusaha mengawal dan menjinakkan nafsu supaya tergolong dikalangan orang yang menjadi penghuni syurga.

SUMBER : SOLUSI (EDISI KE 25)

No comments:

Post a Comment

Berkatalah melalui hati anda. Komen dengan ikhlas. Terima kasih!