Gagal bersikap waqi’iyyah punca salah faham terhadap Islam

Oleh: Lukhman Abdul Taib
lukhman.taib@live.iium.edu.my


Dalam kegawatan dan kebejatan akhlak manusia yang semakin menurun nilainya, timbul kesedaran dalam diri sekelompok insan yang insaf atas kesilapannya yang lalu. Lantas segera kembali ke pangkal jalan untuk menelusuri jalan yang lurus.


Ketika itulah, lembaran mashaf al-Qur’an dibuka kembali. Kuliah-kuliah agama dan pengisian rohani yang ditinggalkan suatu ketika dahulu kini menjadi makanan seharian rohaninya. Ustaz ustazah juga menjadi teman karib, pembimbing dalam mencari keredhaan Allah.


Namun, dalam usaha murni untuk menghayati kembali ajaran Islam betereraskan al-Qur’an dan as-Sunnah, muncul beberapa kelompok yang memahami secara ekstrim yang sedikit sebanyak mencalarkan imej Islam sebagai agama rahmatan lil-‘alamin.


Remaja yang kembali ke pangkal jalan, berasa sedikit berat untuk mengamalkan ajaran Islam, apabila dia mula-mula didedahkan dengan larangan-larangan Allah SWT. Ini tidak boleh, itu tidak boleh, ini berdosa, itu haram. Akhirnya, remaja itu menjadi insan yang bermindakan segalanya haram.


Padahal, Rasulullah SAW sendiri tidak mengajarkan para Sahabat tentang larangan-larangan Allah SWT pada permulaan Islam. Sebaliknya Baginda hanya menekankan aspek akidah dan motivasi para Sahabat ketika itu, memandangkan mereka masih berdepan dengan dugaan dan tentangan daripada Musyrikin Makkah.



Diriwayatkan dalam sebuah hadis, ada tiga orang Sahabat yang berazam untuk berpuasa selama-lamanya, tidak tidur malam selama-lamanya dan tidak berkahwin selama-lamanya. Apabila keazaman mereka itu sampai kepada Rasulullah SAW, baginda bersabda:

“Maka, barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah dari golonganku.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini kerana, Rasulullah SAW juga manusia biasa seperti kita. Walaupun baginda merupakan Rasul utusan Allah, baginda menjalani kehidupannya seperti manusia lain. Baginda tidur seperti kita. Baginda makan, seperti kita. Baginda berkahwin, seperti kita. Semuanya itu adalah fitrah manusia.

Apa yang membezakan kita dengan Rasulullah ialah baginda mampu mengawal fitrahnya agar tidak dikuasai hawa nafsu. Sementara kita terdedah kepada peluang untuk dikuasai hawa nafsu yang tidak pernah kenyang.

Ada juga, remaja yang ingin mengenali Islam (tetapi dengan jalan pintas), akhirnya memahami Islam itu memudah-mudahkan, bukannya memudahkan. Sehingga segala-gala dalam ibadahnya dilakukan sambil lewa atas slogan “memudah-mudahkan”.

Padahal, Rasulullah SAW sendiri bertegas dalam soal kualiti ibadah dan kerja. Baginda menekankan bahawa Islam itu mudah, tidak menyusahkan penganutnya.



Begitu juga, ada sesetengah kelompok, sebagai contohnya apabila berbicara tentang bab ikhtilat (pergaulan) antara lelaki dengan perempuan, mereka begitu berkeras dengan pendirian mereka apabila hendak merancang sesebuah program. Bagi mereka, perempuan di tempat lain, lelaki di tempat lain.

Walaupun dalam keadaan yang tidak mewajarkan dan tidak dapat dielakkan, mereka begitu keras kepala. Lebih malang, apabila mereka hanya bijak berkata-kata tetapi satu cadangan dan pelaksanaan pun tiada daripada mereka.

Walhal, sebenarnya pergaulan itu dapat dikawal dan dipantau dengan mewujudkan sebuah unit pemantauan disiplin. Mereka gagal memahami situasi dan hanya tahu berteori sahaja.



Demikian juga, dalam bab remaja dan cinta misalnya, ada sesetengah kelompok yang berpegang dengan pendirian “bercinta selepas berkahwin” begitu keras menyelar pasangan-pasangan kekasih yang belum insaf, menjadikan mereka semakin jauh dari Islam.

Kelompok ini juga begitu keras mengingatkan kepada remaja yang baru insaf tentang “haramnya” bercinta sebelum berkahwin, tanpa mereka mengambil tahu tentang penderitaan batin remaja ini. Andai diluahkan penderitaan itu kepada kelompok ini, mereka tetap berkata, “Jangan bercinta sebelum berkahwin!”

Tiada suatu saranan atau langkah susulan diambil untuk membantu remaja ini. Malah hanya dibiarkan. Lebih teruk, nasihat dan saranan yang diharapkan, sebaliknya larangan dan tempikan keras yang diterima. Akhirnya, bertambah parah jiwa remaja tersebut, menyebabkan dia mula merasakan Islam itu keras sifatnya. Lantas mengambil jalan yang sudah jelas haramnya untuk mengubati penderitaannya.



Kegagalan para pendakwah untuk bersikap waqi’iyyah (realistik) dan mengaplikasikan apa yang dipelajari pada tempatnya menyebabkan imej Islam itu tercemar. Label konservatif, tradisionalis, syadid (keras) dan utopia (tidak realistik) adalah hasil daripada pendakwah yang tidak memahami situasi.

Para pendakwah tidak seharusnya terus-terusan menimba ilmu untuk dijadikan bekal. Tetapi, para pendakwah juga perlulah belajar kemahiran-kemahiran dan mengetahui tentang perkembangan dunia semasa.

Para pendakwah harus keluar dari ‘kepompong’ dunia mereka. Terokailah dunia, belajarlah untuk memahami situasi sekarang. Selamilah jiwa dan perasaan remaja, mereka sesungguhnya memerlukan kalian untuk memahami mereka, bukan sekadar mengeluarkan hukum haram-halal semata-mata!

Bukankah Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita dalam sabda baginda:

“Permudahkanlah, jangan menyusahkan. Tenangkanlah, dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri dari kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment

Berkatalah melalui hati anda. Komen dengan ikhlas. Terima kasih!